Tuesday, November 22, 2011

Tidak Pernah Mengharapkan Bantuan Orang

TIDAK PERNAH MENGHARAPKAN BANTUAN ORANG

Dalam perjanjian Amul Jamaah, dipersetujui bahawa Al-Hasan akan memperolehi100,000 dinar dari kerajaan Islam yang dipimpin oleh Muawiyyah.  Pada suatu ketika Muawiyyah telah membekukan elaun itu sehingga Al-Hassan mengalami kesempitan hidup.  Beliau pun tergerak hatinya untok menulis surat rayuan kepada Muawiyyah menerangkan keadaan dirinya yang kesempitan itu.  Diambilnya dakwat lalu menulis, tapi tiba-tiba saja beliau menghentikannya.

Ketika tidur, beliau bermimpi melihat Rasulullah (صلى الله عليه وسلم):
" Bagaimana keadaan engkau wahai Hasan?"  ...tanya Rasulullah.
"Baik-baik saja wahai ayahku.".....jawab Al-Hasan.

Kemudian beliau mengadukan tentang keterlambatan elaunnya kepada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم).  Kata Rasulullah (صلى الله عليه وسلم):
" Adakah engkau meminta dakwat untuk menulis surat kepada makhluk saperti engkau juga?"

Al-Hasan menjawab: 
"Ya, wahai Rasulullah.  Apa yang mesti ku lakukan?"

Lalu Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda: 
" Ucapkan (berdoalah):  `  Wahai Allah tanamkan dihatiku harapan kepada-Mu, dan buanglah harapanku  selain kepada-Mu sehingga aku tidak mengharapkan sesiapapun selain pertolongan-Mu.  Ya Allah, alangkah lemahnya diriku dan alangkah sedikitnya amalku kepada-Mu.  Sedangkan harapanku kepada-Mu tidak pernah putus-putus dan permintaanku tidak pernah habis-habis dan lidahku tidak pernah berhenti dari meminta daripada-Mu akan apa-apa yang baik yang telah Engkau berikan kepada orang yang dahulu dan yang akhir dengan penuh keyakinan.  Peliharalah aku (dari mengharapkan orang lain) wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

Al-Hasan berkata :
" Demi Allah, tidak sampai seminggu aku mengamalkan doa itu.  Muawiyyah telah menghantar sebanyak  1,500,000 dirham."

Aku berkata : 
" Segala puji bagi Allah yang tidak melupakan orang yang ingat kepada-Nya dan tidak menghampakan orang yang berdoa kepada-Nya dan tidak menghampakan orang yang berdoa kepada-Nya."

Satelah itu Al-Hasan bermimpi melihat Rasulullah lagi.
" Wahai Hasan bagaimana keadaan engkau?"  .....tanya Rasulullah (صلى الله عليه وسلم)..
" Baik-baik saja wahai Rasulullah.".....jawab Al-Hasan... 
Kemudian beliau menceritakan kepada Rasulullah (صلى الله عليه وسلم)  apa yang telah terjadi  hasil daripada doa yang telah diamalkannya itu. Maka Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) pun bersabda: 
 " Wahai anakku! Begitulah balasan bagi orang yang hanya mengharap pertolongan dari Allah dan tidak mengharapkan apa-apa dari makhluk."
(Diceritakan oleh Al-Ajhuri di dalam kitab Masyariqul Anwar)

Ruj:.......Kekeramatan Cucu-Cucu Rasulullah صلى الله عليه وسلم